
KOTA KINABALU: Isu setinggan di Sabah tidak boleh ditangani secara sempit melalui penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan berperikemanusiaan serta penyelesaian lebih strategik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, kewujudan setinggan berpunca daripada kemiskinan, harga rumah tinggi serta peluang pemilikan kediaman yang terhad.
“Mereka bukan memilih untuk hidup sebagai setinggan, tetapi keadaan yang memaksa.
“Jika setiap kali perobohan dilakukan, yang runtuh bukan sahaja rumah, tetapi juga harapan sebuah keluarga,” katanya ketika membahaskan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, di sini, semalam.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan pelan penempatan semula yang tersusun termasuk rumah transit mencukupi serta peluang pemilikan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bekalan air dan elektrik adalah keperluan asas yang tidak boleh dianggap sebagai kemewahan.
“Masih ada rakyat Sabah yang menadah air hujan dan hidup dalam kegelapan apabila malam menjelma.
“Ini bukan sekadar isu kemudahan, tetapi soal maruah kehidupan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan dasar jelas berteraskan prinsip ‘Air dan Elektrik untuk Semua’ bagi memastikan setiap rakyat menikmati kemudahan asas secara adil.
Mengulas keadaan di Pulau Sepanggar, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan air dan elektrik yang masih tidak stabil walaupun kawasan itu menjadi nadi pembangunan.
“Rakyat tidak menuntut kemewahan, mereka hanya mahukan bekalan konsisten,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu muara Sungai Manggatal yang semakin cetek akibat mendapan pasir dan hakisan sehingga menjejaskan pergerakan bot nelayan serta sumber pendapatan penduduk.
Katanya, kerja pendalaman muara perlu dilaksanakan secara berfasa dan menyeluruh demi kesejahteraan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menegur keadaan lampu jalan di beberapa laluan utama yang tidak berfungsi walaupun tiang sudah dipasang.
“Antara jalan terjejas ialah Jalan UMS, Jalan Politeknik Kota Kinabalu, Jalan Sepanggar, Jalan Norowot serta Jalan Sabah Port Bypass.
“Lampu jalan bukan sekadar kemudahan, tetapi simbol keselamatan. Jalan gelap meningkatkan risiko kepada pengguna,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan lampu solar berkuasa tinggi di kawasan yang sering berdepan masalah kecurian kabel sebagai langkah alternatif lebih mampan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah