Pelajar Tingkatan Empat Maut Nahas Motosikal di Keningau

Pelajar terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

KENINGAU: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Keningau-Apin Apin, berhadapan SMK Keningau 2, pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, berusia 16 tahun dilaporkan terlanggar bahagian belakang sebuah Toyota Hilux ketika dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dan kenderaan pacuan empat roda dipandu wanita berusia 46 tahun.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Keningau untuk menghadiri sukan sekolah sebelum terlanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Keningau dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.48 pagi.

“Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *