Lelaki Ditahan Bersama Ganja Lebih 600 Gram Dalam Op Tapis di Putatan

Suspek ditahan bersama rampasan enam paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja.

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi Op Tapis yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan dalam serbuan di Jalan Pantai Berahi, Putatan petang Selasa oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 641.82 gram dengan nilai sekitar RM1,890,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dengan tempoh tidak kurang 30 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah,” katanya.

Katanya, usaha membanteras jenayah dadah akan terus dipergiat secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat terpelihara.

“Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah khususnya pengedaran dadah bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *