
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun maut dipercayai akibat serangan kesihatan ketika sedang memandu, menyebabkan kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh dua buah kereta yang diparkir di Taman Suria Apartment, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, namun tiada individu lain dilaporkan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan itu membabitkan tiga buah kenderaan termasuk pacuan empat roda milik mangsa dan dua kenderaan yang diparkir.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika sedang memandu sebelum gagal mengawal kenderaan lalu merempuh dua kenderaan yang berada dalam keadaan statik.
“Tiada kecederaan fizikal dilaporkan melibatkan orang awam atau pemilik kenderaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala kes kemalangan disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah