Calon GRS Yakin Mampu Kalahkan Presiden STAR di Tambunan

Victor ketika menerima watikah daripada Hajiji selepas diumumkan sebagai calon GRS kerusi DUN Tambunan pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan Datuk Victor P. Paut, 60, yakin mampu mengalahkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga penyandang kerusi DUN Tambunan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam Pilihan Raya UMum (PRU) DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) ini.

Ahli Perniagaan yang juga anak jati kelahiran Kampung Lintuhun Tambunan ini meletakkan usaha serta kerja keras sejak tiga tahun lalu sebagai rahsia kemenangan yang akan dicapai nanti.

Biarpun tampil sebagai calon muka baharu pada PRU17 Sabah kali ini, namun pengalamannya dalam bidang politik sejak sekian lama menjadi kelebihan untuknya meraih kemenangan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas pencalonan saya sebagai calon GRS di Tambunan.

“Saya menyeru semua pengundi Tambunan untuk menyokong dan mengundi GRS kerusi DUN Tambunan agar kesinambungan pembangunan Tambunan dapat kita teruskan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di sini hari ini.

Ditanya mengenai strategi untuk berkempen sempena PRU17 Sabah, beliau yakin tanpa ada rahsia hanya kerja keras selama ini yang lebih mendekatkan dirinya dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, sebagai calon GRS, kemajuan Tambunan dari segi ekonomi, sosial dan masyarakat perlu dilonjakkan melalui dua aspek utama.

“Saya melihat ekonomi Tambunan dapat ditingkatkan dari dua aspek iaitu melalui sumber pertanian moden dan kemajuan bidang pelancongan ke tahap maksima.

“Ini kerana Tambunan memiliki potensi berdasarkan latar belakang sejarah daerah ini yang hebat,” katanya.

“Selain itu, GRS juga mempunyai peluang besar untuk menang di Tambunan kerana majoriti penduduknya mahukan perubahan dari segi kepimpinan dan kemajuan dari segi ekonomi serta pembangunan,” jelasnya.

Beliau turut melihat Tambunan sudah banyak ketinggalan jauh dari daerah-daerah yang lain di negeri ini.

Justeru katanya, rakyat Tambunan memerlukan seorang pemimpin baharu yang mempunyai visi dan misi untuk membawa Tambunan ke era baharu.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *