Kerajaan Akur Keputusan 40% Hasil Sabah, Tidak Akan Merayu – Peguam Negara

PUTRAJAYA : Kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu disahkan melalui satu kenyataan media Jabatan Peguam Negara hari ini selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri membincangkan penghakiman tersebut, yang difailkan melalui semakan kehakiman oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah, justeru bersetuju untuk tidak meneruskan proses rayuan.

Sebaliknya, kerajaan akan segera memulakan proses rundingan rasmi bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Langkah ini mengesahkan laporan awal Suara TV sebelum ini yang menyebut kemungkinan besar Putrajaya tidak akan membuat rayuan, sebaliknya memilih penyelesaian melalui meja rundingan.

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri tersebut, Peguam Negara turut memberi pandangan berhubung dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa sejak 1974, seperti disebut dalam alasan penghakiman. Dakwaan itu, menurut kenyataan, akan melibatkan kedua-dua kerajaan dalam proses susulan.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan berasingan berkaitan kecacatan pada Alasan Penghakiman Mahkamah Tinggi—bukan terhadap keputusan pemberian khas 40 peratus hasil—khususnya melibatkan isu ketidakpatuhan prosedur, ketidakseimbangan serta dakwaan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Kenyataan itu menegaskan bahawa rayuan tersebut hanya melibatkan aspek alasan penghakiman, manakala keputusan pokok iaitu pemberian 40 peratus hasil tetap diterima kerajaan dan akan dilaksanakan melalui rundingan segera bersama Sabah.

Kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara menegaskan komitmen bahawa kerajaan akan bergerak ke fasa rundingan pelaksanaan tanpa lengah..

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *