Lelaki 41 Tahun Ditahan Terlibat Pengedaran Dadah di Putatan

Suspek ditahan BSJN IPD Penampang selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

PUTATAN: Seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

Melalui perkongsian di laman rasmi Facebook IPD Penampang, penahanan dilakukan hasil risikan dan tindakan pantas anggota BSJN di kawasan Putatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dua paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan berat keseluruhan 8.21 gram.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,250 dan disimpan dalam simpanan suspek ketika pemeriksaan dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapati keputusan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun serta sebat tidak kurang daripada tiga kali jika sabit kesalahan.

“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Pihak polis memaklumkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah akan terus diperhebat di kawasan Penampang dan Putatan bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin.

Masyarakat turut diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyalahgunaan dadah ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kejayaan berterusan pihak berkuasa dalam memerangi ancaman dadah.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *