5 Lelaki Ditahan Bersama 45 Botol Air Ketum Di Tawau

Polis serbu sebuah rumah dijadikan tempat simpanan ketum.

TAWAU :Polis menahan lima lelaki serta merampas 45 botol berisi cecair disyaki air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat dan risikan mengenai aktiviti berkenaan.

Katanya, serbuan menerusi Ops Tapis itu dijalankan selepas polis mengesan kegiatan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan badan terhadap semua suspek tidak menemui sebarang barang salah. Namun, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah membawa kepada penemuan sebuah peti berisi 45 botol mengandungi cecair dipercayai air ketum.

“Turut ditemui satu kotak coklat berisi 10 paket lutsinar mengandungi serbuk halus dipercayai daun ketum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *