Gajah Pygmy Borneo Ditemui Mati di Lembah Danum

Bangkai gajah pygmy Borneo

LAHAD DATU: Seekor gajah pygmy Borneo betina ditemui mati di kawasan Blok 57, FELCRA Berhad Estate Danum, berhampiran Hutan Simpan Lembah Danum, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pemeriksaan awal mendapati bangkai haiwan itu tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan luaran mahupun kesan tembakan.

“Gajah berkenaan dipercayai sudah mati antara satu hingga dua hari lalu. Berdasarkan maklumat pengurusan FELCRA Estate Danum, bangkai berkenaan dijumpai seorang mandur ladang ketika rondaan kira-kira jam 10.20 pagi. Namun, punca kematian masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengambil sampel dan melakukan analisis makmal.

Gajah pygmy Borneo (Elephas maximus borneensis) betina itu dianggarkan mempunyai berat antara 600 hingga 1,200 kilogram dengan ketinggian sekitar 5.2 hingga 5.9 kaki.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Refer to Other Agency (ROA) dan diserahkan kepada JHLS Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Gajah pygmy Borneo merupakan subspesies gajah Asia yang hanya terdapat di pulau Borneo dan disenaraikan sebagai spesies terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *