
TAWAU : Polis menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun yang disyaki mencabul dan mencederakan seorang pelajar perempuan dalam satu kejadian di kawasan kedai-kedai di Jalan Kuhara, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin bin Piuh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di tepi Bangunan Eastern Plaza, Jalan Kuhara.
“Siasatan awal mendapati pada 7 Ogos lalu, sekitar jam 4 petang, mangsa berusia 18 tahun telah berjumpa dengan suspek di kawasan kedai-kedai Jalan Kuhara selepas berkenalan melalui telefon.
“Suspek kemudiannya mengajak mangsa ke sebuah hotel, namun ditolak. Suspek bertindak agresif dengan memaksa dan menumbuk mangsa di bahagian lengan serta perut, menyebabkan kecederaan dan lebam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berserta kunci, yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Dalam pada itu, Superintendan Champin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika berurusan dengan individu yang baru dikenali, serta segera membuat laporan kepada pihak polis sekiranya menjadi mangsa jenayah.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah