Gambar Kumpulan Pelajar Didakwa Buli Arwah Zara Qairina Tersebar, Ramai Gesa Siasatan Adil

(kiri) Tular wajah beberapa pelajar yang didakwa terlibat membuli Allahyarham Zara.

NAMA Allahyarham Zara Qairina Mahathir terus menjadi bualan rakyat Malaysia selepas timbul dakwaan wujud unsur-unsur jenayah terhadap kematiannya.

Rentetan itu, seorang pengguna Facebook pada Isnin memuat naik foto dengan mendedahkan wajah beberapa pelajar perempuan yang didakwa sebagai pembuli Allahyarham Zara.

“Nama-nama dan muka yang disebut-sebut terlibat dalam kes Zara,” tulis individu itu.

Semoga roh Allahyarham Zara yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu dicucuri rahmat.

Hantaran tersebut dihujani hampir 1,000 komen netizen yang kebanyakannya mengharapkan keadilan bagi kes kematian pelajar tingkatan satu itu.

Netizen turut tercari-cari wajah beberapa pelajar yang sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

“Yang mana satu Kak Dedeng, Kak Tomboi dan sewaktu dengannya?

“Semoga Allah tunjukkan kebenaran, siapa pembuli adik Zara.

“Sekolah agama pun dah tak selamat lagi dah,” tulis beberapa netizen.

Dalam pada itu, ramai juga yang menggesa agar kes ini disiasat secara telus demi mendapatkan keadilan.

Jika benar terdapat unsur buli atau jenayah seperti mana didakwa, warganet menggesa agar pelakunya ditangkap.

“Kasi tangkap pembuli, jangan kasi peluang lepas. Cari semua tu biar dilubang cacing sekali pun, kita mahu keadilan.

“Jangan peduli bapa mama pembuli tu walau merayu sekali pun, Justice For Zara itu yang penting, siasat guru-guru sekolah agama sekali.

“Semoga ada pembelaan setimpalnya buat arwah. Usaha selagi dapat. Semoga kebenaran berpihak padamu Almarhumah Zara,” antara gesaan netizen.

Gerakan #JusticeForZara tular di media sosial.

Untuk rekod, Allahyarham Zara merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah.

Remaja itu meninggal dunia pada 17 Julai 2025, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.

Kisah kematian pelajar tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan gerakan #JusticeForZara apabila timbul dakwaan mangsa maut akibat dibuli.

Pada 31 Julai lalu, mStar melaporkan seramai 60 individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian Allahyarham Zara.

Antara yang dipanggil termasuklah nama yang disebut-sebut netizen di media sosial iaitu Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi.

SumbeR: mStar

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *