40 PTI Ditahan Dalam Operasi Imigresen Di Kundasang

Pasukan JIM Sabah ketika menjalankan operasi di rumah-rumah sekitar Kundasang.

RANAU: Seramai 40 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kundasang, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan maklumat awam, dan melibatkan empat lokasi berasingan di daerah berkenaan.

Katanya, dalam operasi yang disertai 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau itu, seramai 48 individu diperiksa dan 40 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Daripada jumlah itu, 26 adalah lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan warga Indonesia dan Filipina.

“Kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, JIM Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan PTI.

Beliau turut memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersubahat, termasuk melindungi atau menggaji PTI.

“JIM Sabah mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin kepada pihak berkuasa bagi membanteras masalah ini secara berkesan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *