
KOTA KINABALU, 4 Julai 2025 : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai dan Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, jika diberi peluang oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, sebagai salah satu parti komponen GRS, Harapan Rakyat telah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk kedua-dua kerusi tersebut berdasarkan sokongan rakyat yang kukuh di peringkat akar umbi.
“Sokongan dan keyakinan rakyat terhadap parti di Merotai dan Kukusan sangat baik. Analisis kami menunjukkan Harapan Rakyat mampu menyumbang kemenangan kepada GRS,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Tambah Liew, parti itu mengambil pendekatan realistik dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi ‘kubu kuat’ mereka.
“Kita kena utamakan ‘rumah kita’ dahulu, tempat yang kita ada pengaruh. Sebab itu kita nyatakan secara spesifik bahawa kita mengintai DUN Merotai dan Kukusan.
“Semua orang boleh minta kerusi, tapi yang penting ialah sama ada mereka boleh menang atau tidak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa DUN Kukusan kini disandang oleh Datuk Rina Jainal dari Harapan Rakyat, manakala beliau sendiri pernah menjadi ADUN Merotai dan Menteri Belia dan Sukan Sabah.
Ditanya sama ada beliau sedia bertanding semula di Merotai sekiranya kerusi itu diperuntukkan kepada PHRS, Liew menjawab:
“Saya bersedia untuk bertanding dan berjuang demi menyumbang kemenangan kepada GRS.”
Beliau turut menekankan bahawa parti akan meletakkan calon yang benar-benar berpotensi untuk mempertahankan Kukusan, namun tetap akur kepada sebarang keputusan pucuk pimpinan GRS berhubung agihan kerusi.
Mengenai pembubaran DUN, Liew menyerahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Sabah, sambil menyatakan bahawa GRS masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat keputusan yang tepat sebelum penggal tamat pada November ini.
“Kita masuk gelanggang PRN mesti dalam keadaan bersiap sedia. Jangan terburu-buru,” tegasnya.
Beliau juga optimis bahawa rakyat Sabah akan memberikan peluang kepada GRS untuk kembali mentadbir negeri berdasarkan prestasi semasa gabungan itu.
Pada PRN 2020, kerusi DUN Merotai dimenangi calon Parti Warisan (WARISAN), Sarifuddin Hata, dengan majoriti 1,587 undi.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah