Zon 6 UMNO Sabah Bersiap Gempur PRN17, Tumpu Tawan Semula Pantai Timur Sabah

Samasuddin Yusop

TAWAU : UMNO Zon 6 Sabah menyatakan kesiapsiagaan sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), yang dijangka berlangsung dalam tahun ini, dengan matlamat utama untuk menawan semula kawasan Pantai Timur negeri.

Pengerusi Zon 6 UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, menegaskan bahawa jentera parti telah mula digerakkan sejak awal, meliputi kawasan strategik seperti Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan — yang pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Katanya, gerak kerja parti sudah digerakkan secara menyeluruh di semua peringkat termasuk Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan yang suatu ketika dahulu menjadi antara kubu kuat UMNO dan BN.

“Kami tidak tunggu esok untuk bergerak kerana Zon 6 sudah lama bergerak. Kami mahu menang dengan strategi, maruah dan sokongan penuh daripada kepimpinan pusat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan khas bersama Pengerusi War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini, baru-baru ini.

Samasuddin menegaskan, PRN kali ini bukan sekadar pertandingan politik biasa, sebaliknya menjadi titik penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Ini soal maruah perjuangan. Kita tidak boleh ulang kesilapan lalu. Kita tampil dengan kekuatan baharu, strategi baharu dan pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya.

Menurutnya, antara tumpuan utama ialah pemerkasaan jentera akar umbi termasuk penyusunan semula di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) dan pemetaan data pengundi yang lebih terperinci.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu UMNO Sabah berkata, pihaknya akan memperkasakan penggunaan media digital sebagai senjata baharu pada PRN kali ini..

“Latihan khusus penggunaan TikTok, Reels dan platform media sosial lain turut diperkenalkan bagi menarik sokongan terutama pengundi muda yang menjadi penentu dalam PRN kali ini.

“Jangan pandang ringan kuasa media sosial. Kita latih jentera kita supaya bukan saja turun padang, tapi juga aktif di alam maya,” katanya.

Selain itu katanya, pelbagai program sentuhan rakyat turut dilaksanakan termasuk perkhidmatan kesihatan, pengagihan bantuan makanan, serta penyelesaian isu setempat seperti bekalan air, lampu dan infrastruktur.

Samasuddin turut memaklumkan proses penapisan calon sedang berjalan dengan teliti bagi memastikan hanya calon yang benar-benar berwibawa, dikenali dan diterima penduduk tempatan diketengahkan.

“Kita tidak boleh masuk gelanggang dengan harapan kosong. Kita masuk dengan jentera yang bersedia, data yang lengkap dan semangat juang yang tinggi,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *