PBS Tolak Kerjasama BN: GRS Tetap Kukuh – Nizam

Nizam bersama pemimpin GRS dan ahli Gagasan Rakyat Apas yang hadir dalam persidangan berkenaan.

TAWAU : Keputusan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan sebagai hak dan pendirian parti itu yang wajar dihormati.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjejaskan perpaduan gabungan itu yang kekal utuh.

“Itu adalah pendirian PBS dan kita menghormatinya. Namun, segala keputusan berkaitan masa depan GRS pada PRN kali ini akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Apas di Dewan Masyarakat Tawau, hari ini. Turut hadir, Bendahari Gagasan Rakyat, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Persidangan itu dihadiri lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh kawasan DUN Apas, mencerminkan sokongan akar umbi yang kukuh terhadap Gagasan Rakyat dan GRS.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, persiapan jentera pilihan raya GRS berada pada tahap terbaik, dengan semua bilik gerakan pusat daerah mengundi telah ditubuhkan dan jawatankuasa jentera telah digerakkan sepenuhnya.

“Kita juga sedang melaksanakan pelbagai program akar umbi bagi mengenal pasti keperluan serta sokongan di peringkat lokal,” jelasnya.

Mengulas keahlian Gagasan Rakyat di DUN Apas, beliau berkata bahagian itu kini memiliki lebih 11,000 ahli berdaftar dan 180 cawangan aktif, menjadikannya antara bahagian terbesar di Sabah.

“Hampir 10,000 daripada ahli ini merupakan pengundi berdaftar di DUN Apas, satu kelebihan besar kerana kekuatan parti bergantung kepada sokongan pengundi tempatan.

“Tiga lagi cawangan baharu juga sedang dalam proses pendaftaran, menunjukkan peningkatan sokongan masyarakat terhadap Gagasan Rakyat,” tambahnya.

Menurut Nizam, keyakinan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor turut didorong oleh kejayaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya, yang memberi impak besar kepada pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.

“Rakyat semakin yakin dengan hala tuju yang dibawa Ketua Menteri, dan inilah yang menjadi kekuatan utama Gagasan Rakyat serta GRS hari ini,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *