
KOTA KINABALU : Enam lagi ahli politik di Sabah, termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti dalam kerajaan negeri, dipercayai terlibat dalam skandal berkaitan kelulusan lesen perlombongan.
Menurut laporan Malaysiakini, pendedahan tersebut didedahkan oleh satu sumber yang mendakwa memiliki bukti dalam bentuk tangkapan skrin daripada rakaman video melibatkan beberapa pemimpin politik terbabit.
Malaysiakini turut dilaporkan telah melihat petikan ringkas daripada video berkenaan, namun tidak diberikan kebenaran untuk menyiarkannya kepada umum.
“Jumlah keseluruhan wang yang terlibat bagi enam individu tersebut dianggarkan hampir RM4 juta, atau lebih tepat RM3.96 juta,” kata sumber itu yang enggan identitinya didedahkan atas faktor keselamatan.
Selain rakaman video, sumber berkenaan turut mendakwa wujud mesej WhatsApp dan dokumen-dokumen lain yang menyokong transaksi berkaitan lesen perlombongan itu.
Dengan pendedahan terbaru ini, jumlah keseluruhan ahli politik Sabah yang dikaitkan dengan skandal perlombongan tersebut kini meningkat kepada 15 orang.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah