Lelaki Warga Pakistan Diburu Polis Disyaki Amang Seksual Kanak-Kanak

Suspek Warga Pakistan

BELURAN; 17 JUN 2025 : Seorang lelaki dikenali sebagai Khan kini diburu polis selepas disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 13 Jun lalu yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Buis Kiabau, Beluran.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan warga tempatan berusia 12 tahun, dan kejadian dipercayai berlaku di rumah keluarganya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Susulan laporan itu, polis kini giat memburu suspek yang dikenali sebagai Noorislam Khan, atau nama panggilannya Khan, dipercayai berumur dalam lingkungan 20-an dan merupakan warganegara Pakistan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Beluran di talian 089-511222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Sandra di talian 011-28066182.

“Polis juga menyeru mana-mana individu atau saksi yang melihat kejadian tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” tambah Hasan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *