Isu slogan `Sabah For Sabahan’: Bung Bidas Jeffrey, Saran Contohi Tun Mustapha

Bung Moktar dan Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan perjuangan menuntut hak negeri itu adalah satu tanggungjawab yang memerlukan kewarasan sejarah, kesatuan politik dan keberanian yang membina.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pemimpin negeri itu sepatutnya melihat sejarah perjuangan hak Sabah oleh tokoh seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang menggunakan pendekatan berhemah.

“Beliau (Tun Datu Mustapha) tidak menegakkan hak Sabah dengan meniup api perpecahan. Sebaliknya, beliau mengangkat martabat Sabah dengan membina jambatan kepercayaan antara negeri ini dan Persekutuan.

“Inilah semangat yang diwariskan kepada kita, semangat yang matang, berpijak di bumi nyata dan tidak menjadikan slogan sebagai ganti penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mempertahankan slogan `Sabah For Sabahan’ (Sabah untuk Orang Sabah) yang disifatkannya sebagai pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah Sabah.

Jeffrey memberikan maklum balas terhadap gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut slogan Sabah Untuk Orang Sabah tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata sentimen itu tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata tuduhan Jeffrey bahawa kenyataan Ahmad Zahid memecah belah rakyat Sabah dan memesongkan sejarah bukan saja tidak berasas, malah berbahaya jika dibiarkan tanpa dijawab secara berhemah.

Hakikatnya, katanya, suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati, termasuk dalam perkara berkaitan hak perjawatan, peruntukan pembangunan dan pembabitan dalam dasar nasional.

Katanya, semua hak itu sedang dikembalikan secara berperingkat melalui rundingan dan diplomasi, tanpa sebarang tindakan melalui demonstrasi.

“Inilah pendekatan yang UMNO Sabah dukung, kerja senyap yang menghasilkan perubahan, bukan jeritan kuat yang hilang dalam angin politik.

“Ironinya, Dr Jeffrey yang hari ini mendakwa kononnya pejuang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dahulu ketika menjadi pembangkang banyak berjanji namun tiada yang menjadi.

“Retorik MA63 diulang setiap musim pilihan raya tetapi selepas menang, rakyat hanya disajikan alasan,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, slogan `Sabah For Sabahan’ boleh menjadi semangat tetapi boleh berubah menjadi dinding pemisah apabila dijadikan alasan untuk menolak kerjasama Persekutuan.

“Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, elektrik stabil dan peluang pekerjaan yang mampan.

“Rakyat Sabah hari ini semakin bijak, mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan provokasi. Mereka mahu pembangunan, bukan perpecahan, mereka mahu kestabilan, bukan ketegangan yang dihidangkan demi kepentingan peribadi,” katanya.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah berpijak pada realiti dan berdiri teguh bersama rakyat tanpa memilih waktu untuk membela mereka.

“Kita hadir waktu mereka (rakyat) memerlukan, bukan hanya ketika mahu undi,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *