PRN: UMNO-BN Yakin Kembali Berkuasa Di Sabah

Suhaimi Nasir

Umno menyuarakan keyakinan tinggi bahawa parti itu dan BN mampu kembali dominan dalam landskap politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal diadakan.

Menurut Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir perkembangan semasa menunjukkan sokongan rakyat kepada parti semakin kukuh, membuka peluang besar untuk BN muncul semula sebagai parti tunjang di Sabah.

“Alhamdulillah kalau saya lihat sejak kebelakangan ini, walaupun banyak netizen mengatakan parti lokal itu lebih baik seperti di Sarawak.

“Kita kena faham banyak perbezaan antara Sabah dan Sarawak.

“Tapi, kalau katakan mampukah BN menjadi tunjang selepas 2018? Insya-Allah PRN kali ini kemungkinan besar kita boleh jadi tunjang kerajaan.

“Kerana apa? Kita bandingkan semasa kejatuhan BN di Sabah sebenarnya bukan kerana kita kalah tetapi kerana lompat parti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Suhaimi yang juga ahli parlimen Libaran menjawab persoalan mengenai potensi kebangkitan BN Sabah, di tengah-tengah sentimen akar umbi yang kini dilihat cenderung menyokong parti tempatan.

Untuk rekod, Umno-BN kini berada dalam blok pembangkang di peringkat negeri selepas menarik balik sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Januari 2023, susulan dakwaan kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

ADS

Bung Moktar dinobat ‘poster boy’ BN Sabah

Dalam perkembangan lain, Suhaimi turut mengesahkan Umno Sabah telah mencapai kata sepakat untuk menamakan Bung Moktar Radin sebagai poster boy parti bagi menghadapi PRN akan datang.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kedudukan Bung Moktar sebagai pengerusi BN Sabah dan ketua Umno negeri, sekali gus selari dengan tradisi parti.

“Untuk BN di Sabah ini memang secara tradisinya Pengerusi BN dan Ketua Umno dipilih sebagai poster boy iaitu Datuk Bung.

“Jadi, setakat ini poster boy Datuk Bunglah..Kalau bergabung dengan parti lain kita perlu dapatkan khidmat nasihat Presiden (Umno Ahmad Zahid Hamidi),” jelasnya.

Bagaimanapun, Bung Moktar sendiri pernah berkata sebelum ini bahawa BN tidak menumpukan soal siapa bakal menjadi ‘poster boy’ untuk PRN Sabah kerana semua calon mempunyai kelayakan menjadi ketua menteri.

Sebaliknya katanya BN menekankan keutamaan memenangi sebanyak mungkin kerusi.

Bung berkata fokus parti memenangi seberapa banyak kerusi dipertandingkan bagi memastikan BN dominan bagi menerajui pentadbiran negeri termasuk dalam kerjasama dengan gabungan lain.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *