Isteri Mangsa Tragedi Double Six Masih Ingat Kata-Kata Terakhir Mendiang

Jikilin Majitan menunjukkan jam tangan, cincin dan penutup pen milik mendiang suaminya, Darius Binion yang masih disimpan sejak tragedi Double Six kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick (kiri). – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: “Saya mahu jalan sudah,” itu kata-kata terakhir mendiang Darius Binion kepada isterinya, Jikilin Majitan sebelum terlibat nahas pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang turut mengorbankan beberapa pemimpin Sabah, termasuk Ketua Menteri, Fuad Stephens.

Mengimbau kenangan hampir 47 tahun lampau, Jikilin, 88, berkata Darius yang ketika itu pembantu menteri kepada timbalan ketua menteri mengucapkan kata-kata terakhir berkenaan sebelum keluar rumah untuk menjalankan tugas di Labuan.

“Ketika kejadian, dua anak saya masih kecil, iaitu berusia enam dan 11 tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam, selepas menerima laporan rasmi siasatan akhir tragedi dikenali sebagai “Double Six”, yang disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick.

Beliau yang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendedahkan laporan itu, turut berkongsi seutas jam tangan, dua bentuk cincin dan penutup pen milik Darius yang masih disimpan sejak nahas berlaku.

Jikilin berkata, sebentuk cincin yang dipakai Darius dan penutup pen sudah dibaikinya kerana kedua-dua barang itu bengkok ketika diserahkan kepadanya seminggu selepas nahas itu.

Dalam tragedi itu, pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad 9M-ATZ kendalian Sabah Air yang membawa kenamaan dari Labuan, terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Laporan setebal 21 halaman tragedi itu yang dinyahklasifikasi dan dikeluarkan kelmarin, menyatakan tiada bukti menunjukkan terdapat unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam kejadian itu.

Laporan itu turut merumuskan kemungkinan nahas disebabkan kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal yang mengakibatkan kolum kawalan tidak lagi boleh digerakkan ke hadapan, manakala bahagian muncung pesawat terangkat apabila sayapnya melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *