‘Tunaikan MA63 Bukan Buat Perjanjian Baharu,’ Kata Shafie

Shafie Apdal berkata Perjanjian Malaysia 1963 ialah perjanjian antarabangsa didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 Sept 1970 di bawah Perjanjian bernombor 10760.

KOTA KINABALU : Bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal menegaskan bahawa sebarang penukaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan persetujuan Sabah dan Sarawak serta meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Ahli Parlimen Samporna itu berkata, ini kerana perjanjian ditandatangani Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman bukan berasaskan keputusan yang dibuat semalaman, tetapi telah melalui banyak rundingan dan dipelajari dengan teliti.

Justeru, Presiden Warisan itu berkata, prinsip yang tertakluk bawah MA63 perlu dipegang dan dilaksanakan dalam meningkatkan hubungan antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, beliau menolak syor pembentukan MA63 yang baharu seperti yang dicadangkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah pada 2 Julai lalu.

“Hanya laksanakan perjanjian itu sepenuhnya. Itu yang dimahukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.

“Mereka tidak mahu perjanjian baharu. Saya amat kecewa dengan rakan pemimpin Sabah yang sanggup berkompromi berkenaan hak asasi rakyat negeri ini untuk melindungi kepentingan politik mereka.

“Daripada berkompromi, mereka sepatutnya menuntut (dasar) MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, kegagalan untuk menunaikan janji itu akan menghakis kepercayaan, menghancurkan keyakinan, integriti dan akan memecah belahkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *