12 Wanita Antara 28 Individu Leka Berhibur Dikompaun RM56,000

Anggota  polis menjalankan pemeriksaan ke atas pengunjung pusat hiburan. 

KOTA KINABALU: Seramai 28 individu termasuk 12 wanita yang leka berhibur dikompaun RM56,000 dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3, di pusat hiburan di KK Waterfront, di sini, malam tadi.

Operasi bermula 12 tengah malam itu dijalankan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Operasi berkenaan turut dibantu Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo AK Hang.

Mohd Zaidi berkata, ketika operasi di pusat hiburan di tengah bandar raya ini, premis berkenaan didapati beroperasi dengan muzik dan pengunjung menikmati minuman keras sambil berhibur.

“Seramai 28 pengunjung termasuk 12 wanita dikompaun masing-masing RM2,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Turut dikenakan kompaun adalah pemilik premis sebanyak RM10,000 kerana beroperasi melebihi had masa,” katanya ketika ditemui sebaik selesai operasi berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan mendapati premis adalah pusat hiburan yang menggunakan lesen kafe dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Dalam operasi itu juga, polis turut menahan seorang wanita warga asing dipercayai pekerja pusat hiburan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama, Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) turut dijalankan di enam kawasan ‘hotspot‘ di Luyang, Tanjung Aru, Inanam, Alam Mesra, Manggatal, dan Kota Kinabalu.

“Hasil OBCJ ini, seramai 12 individu ditahan membabitkan sembilan kesalahan dadah dan tiga kesalahan jenayah. Dalam tempoh OBCJ ini dilaksanakan, trend jenayah telah menurun di keenam-enam ‘hotspot‘ yang kita laksanakan OBCJ ini,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *