TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing cuba melarikan diri selepas membakar kilang papan milik majikannya gagal apabila berjaya ditahan polis trafik, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 pagi itu, suspek warganegara Indonesia berusia 33 tahun berkenaan berjaya ditahan sepasukan polis trafik di kawasan lampu isyarat Batu Tiga.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata suspek sebelumnya dipercayai bertindak mengundurkan kenderaan jenis Toyota Vigo berwarna yang dicuri daripada majikan di Jalan MRSM sehingga melanggar sebuah kereta Proton Saga seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Megah Jaya.
Fadil berkata suspek yang bekerja sebagai tukang kayu dan tinggal di dalam kawasan kilang papan terbabit dipercayai membakar beberapa struktur kilang terbabit sebelum disedari oleh penghuni rumah kongsi berhampiran.
“Kebakaran membabitkan sebuah unit rumah kongsi 12 pintu, satu unit pejabat urusan Anjur Juara Sdn Bhd dan tiga buah gudang simpanan kayu. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.
“Kita menerima panggilan memaklumkan kejadian ini sekitar jam 4.31 pagi daripada seorang wanita yang memberitahu suatu kebakaran berlaku di sebuah kilang papan terletak di Perkampungan Kongsi Lapan, Batu Lima, Jalan Apas.
“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 4 pagi namun pemilik kilang yang juga lelaki berusia 48 tahun hanya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.18 pagi untuk membantu memadamkan kebakaran.
“Suspek kemudiannya melarikan kereta majikan yang ditinggalkan bersama kunci di dalam kereta. Orang ramai yang berada di tempat kejadian yang menyedari tindakan itu terus melaporkannya kepada pemilik kenderaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan mangsa sekitar jam 7.55 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil berkata hasil siasatan lanjut suspek sudah bekerja di kilang papan terbabit kira-kira empat tahun tetapi berkelakuan kurang siuman lebih kurang seminggu yang lalu.
“Suspek kemudiannya, direhatkan oleh pihak majikan berikutan suspek menunjukkan tanda kemurungan selain negatif dadah.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan berkemungkinan disebabkan suspek mengalami sakit mental.
“Suspek akan dipohon di bawah seksyen 117 KPJ bermula esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379A Kanun Keseksaan,” katanya. –SabahNews Today