KOTA KINABALU: Biasanya kerjaya sebagai tukang jahit dikuasai oleh wanita, bermula dari rumah atau kedai jahit.
Bagaimanapun, lain pula di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu apabila lebih 10 gerai yang mengambil upah menjahit dan mengubah suai pakaian dilakukan oleh lelaki.
Lebih menarik, upah untuk menjahit atau mengubah suai pakaian sangat murah berbanding di kedai jahit di luar iaitu serendah RM1 hingga RM15.
Faizal Janaral, 53, berkata dia memulakan kerjayanya sebagai tukang jahit di pasar itu sejak lebih 20 tahun lalu selepas belajar menjahit daripada ibunya.
“Di pasar ini, saya mengambil upah menjahit dan mengubah suai pakaian lelaki serta wanita dan kebanyakannya tukang jahit lelaki yang ada di sini masing-masing mempunyai kemahiran dalam mengubah suai pakaian mengikut kehendak pelanggan.
“Tiada tukang jahit wanita di sini dan memang sejak dahulu secara tradisinya adalah tukang jahit lelaki. Mungkin sebab ia terletak di tepi jalan dan di hadapan pasar yang tidak sesuai untuk wanita kerana berhabuk dan tidak selamat bagi tukang jahit wanita,” katanya.
Mengenai rutin hariannya, Faizal berkata, dia beroperasi di gerai itu setiap hari bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang dengan berbekalkan sebuah mesin jahit lama bersama peralatan lain termasuk benang, gunting dan pembaris.
Faizal mengambil ukuran badan pelanggan di gerainya di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu. – NSTP/Edmund Samunting
“Sejak mula menjalankan perniagaan ini, saya hanya menggunakan sebuah mesin jahit lama iaitu buatan British yang diwarisi daripada nenek pada tahun 70-an dan sehingga kini masih digunakan sebagai punca rezeki saya.
“Saya selesa menggunakan mesin ini berbanding mesin baharu yang moden dan menganggap pergerakan kaki seiring dengan tangan ketika menjahit adalah senaman setiap hari,” katanya.
Faizal berkata, walaupun pendapatan sebagai tukang jahit tidak menentu, ia cukup bagi menyara hidup isteri dan dua anaknya yang kini sudah dewasa.
“Pendapatan seharian tidak menentu. Paling banyak saya terima upah iaitu RM70 sehari dan sekiranya hujan, kuranglah pelanggan. Tetapi dengan mesin jahit dan mengambil upah menjahit, saya menampung keluarga dan kini seorang anak saya sudah bekerja manakala seorang lagi masih belajar,” katanya.
Bagi seorang pelanggan tetap, Sukardi Suratnam, 53, dia mendapatkan perkhidmatan menjahit daripada Faizal sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kami sudah kenal lama dan saya menjadi pelanggan tetapnya sejak tahun 90-an. Ada juga beberapa tukang jahit lelaki lain di sini, tetapi saya lebih suka hasil kerjanya.
“Saya hanya perlu menunggu kira-kira 10 minit sebelum seluar atau pakaian yang dihantar siap diubah suai atau dijahit,” katanya yang ditemui ketika menghantar seluarnya untuk diubah suai di gerai Faizal. – Berita Harian