Bilal Masjid Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang pemandu Grab yang juga bilal sebuah masjid di Kepayan, di sini, mencetuskan kluster baharu COVID-19 berkaitan kehadiran jemaah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Kes indeks Kluster Patuma, iaitu seorang lelaki berumur 55 tahun itu dipercayai mendapat jangkitan daripada jemaah yang gagal mematuhi SOP ketat sepanjang berada di masjid terbabit.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataan berkata penularan juga dipercayai disebabkan segelintir jemaah yang masih hadir ke masjid walaupun mempunyai gejala.

“Kluster Patuma di Kota Kinabalu mula direkodkan pada 18 Mei lalu menerusi saringan bergejala di klinik swasta. Kes indeks adalah pemandu Grab, lelaki, 55, yang jugar bilal di Masjid Al Falah, Kepayan.

“Susulan kes itu, pasukan kawalan bertindak pantas dengan menjalankan saringan kontak dan mendapati 10 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes,” katanya.

Setakat hari ini, katanya 133 sampel pertama sudah diambil bagi kluster terbabit dengan 33 sampel lagi belum selesai ujian saringan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah hari ini mencatat 265 kes baharu COVID-19 dengan empat kematian, iaitu dua di Kota Belud, manakala masing-masing satu di Kuala Penyu dan Kota Kinabalu.

“Jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 43 kes iaitu daripada 308 kes semalam (28 Mei) kepada 265 kes hari ini.

“Daripada 265 kes jangkitan baharu hari ini, 134 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, diikuti 75 kes menerusi saringan kluster, saringan bergejala (35 kes), saringan bersasar (tujuh) dan 14 kes lagi daripada lain-lain kes,” katanya.

Berdasarkan analisa hari ini juga, katanya sebanyak 14 daerah di Sabah mencatat penurunan kes pada julat satu angka kecuali tiga daerah lain menunjukkan penurunan ketara pada julat dua angka iaitu Keningau ( turun 20 kes), Kunak ( turun 16 kes) dan Papar (turun 14 kes).

Jelasnya, hanya dua daerah mencatat peningkatan, namun aliran peningkatan ketara berlaku di kedua-dua daerah terbabit iaitu Tawau sebanyak 72 kes (meningkat 35 kes) dan Kalabakan sebanyak 46 kes ( meningkat 21 kes).

“Tiga daerah lain yang mencatat kes baharu pada hari ini iaitu Sandakan (11 kes), Kota Belud (10 kes) dan Sipitang (satu kes) kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin. Pada hari ini, 10 daerah mencatat sifar kes iaitu Ranau, Beluran, Telupid, Pitas, Kota Marudu, Kinabatangan, Tongod, Tenom, Nabawan dan Tambunan,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak 14 daerah kini berada dalam zon merah di Sabah, manakala dua daerah dalam zon jingga, lima daerah dalam zon kuning dan enam daerah dalam zon hijau.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *