2,881 Kes Positif Baharu Covid-19, 15 Kematian Hari Ini

Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 2,881 kes baharu Covid-19 dan 15 kematian, manakala 2,462 pesakit pulih.

Ini menyaksikan 380,442 daripada 411,594 pesakit Covid-19 sudah pulih, manakala 1,521 kematian dicatatkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 29,631 pesakit sedang dirawat di seluruh negara, dengan 176 daripada 337 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, 16 ialah kes import dan 2,865 kes penularan tempatan yang terdiri daripada 2,609 warganegara serta 256 warga asing.

Katanya, Selangor mencatatkan jangkitan tertinggi dengan 759 kes.

“Daripada jumlah ini, 522 kes (68.8%) daripada kluster dan saringan kontak rapat.” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Sarawak (445), Kelantan (442), Kuala Lumpur (315), Johor (310), Pulau Pinang (133), Kedah (111), Negeri Sembilan (89), Sabah (64), Perak (64), Melaka (54), Pahang (47), Terengganu (42), Labuan (tiga) dan Putrajaya (tiga).

Perlis ialah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan kes baharu.

Noor Hisham berkata, lima kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing dua di Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang serta masing-masing satu kematian di Sabah, Terengganu, Kelantan serta Negeri Sembilan.

Katanya, semua kematian itu membabitkan warganegara berusia 35 hingga 87 tahun, dengan semua kecuali seorang mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *