Aidilfitri Pertama Empat Beradik Tanpa Ibu & Ayah

Dari kiri) Nurmia, Nurnafisha, Nursazzey dan Mohd Irfan melihat gambar kedua ibu bapa mereka di kediaman PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah

PUTATAN: Raut wajah Nursazzey Shazmika Mazlan dan adiknya Mohd Irfan Itihsyam Mazlan begitu tenang ketika menceritakan tentang kemalangan ngeri yang meragut nyawa ibu bapa serta seorang adik-beradik mereka kira-kira sebulan lalu.

Namun, sebaik sahaja berkongsi mengenai kenangan dan masakan arwah ibu yang sukar dilupakan, air mata pasangan beradik ini mula berlinangan.

Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan oleh dua anak yatim piatu ini buat seketika kerana menahan sebak apabila mengimbau kenangan bersama arwah ibu bapanya.

Nursazzey,15, atau lebih mesra dengan panggilan kakak ini berkata, hasrat menemani ibu untuk membeli baju sempena Aidilfitri buat adik-adik pada tahun ini tidak kesampaian apabila ibu pergi buat selamanya.

Mummy ada cakap tahun ini sebelum bulan Ramadan dia mahu membeli baju raya sama-sama kerana setiap tahun begitulah rutin kakak bersama mummy. Hanya kami berdua pergi ke kedai untuk membeli baju raya buat adik-adik,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka dekat sini semalam.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia pasti akan merindui suasana pagi raya ketika mereka lima beradik beratur menunggu giliran untuk bersalaman meminta maaf dan mencium tangan kedua ibu bapanya.

Biasanya menjelang Aidilfitri, Nursazzey pasti membantu ibu di dapur untuk membuat biskut serta memasak juadah raya. Ibu memang pandai memasak, semua masakan ibu digemari olehnya.

“Ibu turut menjual kuih penjaram jadi kakak bersama adik yang meninggal dunia itu yang sering tolong membuat penghantaran ke rumah-rumah jiran di sekitar PPR Taman Sri Keramat ini,” kata Nursazzey yang turut mengalami kecederaan pada bahu sebelah kiri akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, Mohd Irfan,10, berkata, usikan bapanya pasti akan dirindui oleh satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini.

“Saya pasti akan merindui masakan ayam kicap mummy, rindu dengan usikan daddy. Tiada lagi kawan bergaduh kerana kakak, Nursazilla Shazmira sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Nursazzey, Mohd Irfan serta dua adik mereka iaitu Nurmia Syazmira,7, dan Nurnafisha Syazmiza,4, yang terselamat dalam kemalangan tersebut kini dijaga oleh nenek mereka.

Naisah Mis, 60, berkata, kesemua cucu tinggal bersamanya di Kampung Ulu dan sekali sekala mereka akan kembali ke rumah milik menantunya, Francis Yohanes atau nama Islamnya, Mazlan Abdullah.

Tidak disangka ciuman di dahinya enam hari sebelum kejadian menjadi ciuman terakhir arwah anaknya, Nurafidah Sukimin.

Tanggal 31 Mac akan sentiasa diingati oleh keluarga mereka kerana ia mengubah kehidupan empat cucunya setelah pemergian anak, menantu dan cucunya dalam kemalangan maut di Kilometer 42, Jalan Kimanis-Keningau. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *