4850 Bungkus Rokok Seludup Dirampas Di Tawau

Rokok yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.

TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM), berjaya merampas 4850 bungkus rokok seludup dalam satu serbuan menerusi Ops Gelora Khas di Batu 3 Jalan Apas, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, unit risikan Marin (URM) bertindak melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah atas air di lokasi tersebut sebaik menerima maklumat berkaitan aktiviti itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata pasukannya yang melakukan pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam sebuah bilik di rumah tersebut telah menjumpai tujuh buah kotak dan tiga bungkusan plastik hitam yang mengandungi pelbagai jenis rokok disyaki diseludup dari negara jiran.

“Sepanjang pemeriksaan dijalankan, tiada siapa yang tampil mengaku sebagai pemilik barang berkenaan,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua rokok tersebut dirampas dan dibawa ke pangkalan Marin Tawau sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya. 

“Nilai keseluruhan rampasan rokok tersebut selepas cukai dianggarkan berjumlah RM59,967.60 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *