Rokok, Minuman Keras Bernilai Lebih Setengah Juta Dirampas Di Tongod

Sebahagian rokok yang dirampas dalam serbuan Batalion 15 PGA di Kampung Singah Mata, Tongod di Sandakan, kelmarin. – Gambar Ihsan PGA

SANDAKAN: Stor di bawah sebuah rumah di Kampung Singah Mata, Tongod di sini, dipercayai menjadi transit pengedaran rokok dan minuman keras seludup sebelum di pasarkan di sekitar daerah ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas sebanyak 4,560 karton rokok seludup pelbagai jenama dan 499 karton minuman keras dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan pada 8.10 malam kelmarin.

Rokok dan arak seludup dirampas PGA Sandakan dalam serbuan di Kampung Singah Mata, Tongod kelmarin, Gambar Ihsan PGA

Pegawai Memerintah Batalion 15 PGA Superintendan Toipi Lamat berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Platun Tiger selepas menerima maklumat hasil risikan yang dijalankan terhadap kegiatan itu.

“Selepas tiba dan membuat pemeriksaan, anggota platun berjaya menemui tiga buah lori kargo berhampiran stor transit barang tidak bercukai terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di belakang sebuah lori itu ditemukan kotak coklat berisi rokok seludup sebanyak 4,560 karton.

“Susulan itu, anggota bertugas memeriksa sebuah stor di bawah sebuah rumah di kawasan itu menemukan 499 karton minuman keras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati stor itu dijadikan tempat transit barangan seludup yang dibawa dipercayai dibawa dari arah Kota Kinabalu.

“Rokok seludup dan minuman keras bernilai RM693,108 itu dipercayai untuk dihantar dan dipasarkan di daerah sekitar.

“Semua barangan seludup itu dirampas dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *