Covid-19: Dua Positif Di Sabah Hari Ini, Kes Aktif Turun 9 Lagi

KOTA KINABALU: Sebanyak dua kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini, setakat ini, sebanyak 315.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kes aktif wabak berkenaan menurun sembilan kes hari ini iaitu kini sebanyak 83 berbanding 92 kes, semalam.

Ini kerana, seramai 11 lagi pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 228.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Terdahulu, dua kes baharu yang dicatatkan hari ini ialah masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Beluran.

Ia juga kes Covid-19 yang pertama dicatatkan di Beluran, setakat ini.

Dalam perkembangan sama tiada kematian dicatatkan di negeri ini, hari ini, dengan jumlah korban akibat jangkitan wabak itu kekal empat orang iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,404; Kuala Lumpur (1,222); Johor (660); Negeri Sembilan (508); dan Sarawak (502).- Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *