WARGA EMAS ANTARA 14 DITAHAN POSITIF DADAH
TUARAN: Seorang lelaki warga emas berumur 60 tahun antara 14 individu ditahan disyaki terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah, di sini, hari ini.
Dalam satu operasi di tujuh buah kampung, lelaki terbabit ditahan ketika khusyuk melayan muzik kira-kira pukul 3 pagi di kediamannya.
Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata ketika tangkapan dibuat, warga emas berkenaan dipercayai baru sahaja selesai menghisap syabu.
Dalam tangkapan berasingan pula, seorang bapa naik berang apabila anaknya ditahan pegawai AADK.
“Kalau saya panas ni, saya hentak bumi, semua pegawai AADK muntah darah,” kata bapa kepada Orang Kena Tahan (OKT) ketika serbuan berkenaan dijalankan.
Sementara itu, operasi berkenaan dijalankan di tujuh buah kampung iaitu Kampung Lapai Tenghilan, Molisau Tenghilan, Linsuk Tenghilan, Bahab Tenghilan, Sorombotom, Gayang Tuaran dan Kampung Serusop Tuaran.
Operasi berkenaan dijalankan seawal pukul 1 pagi dan selesai pada 5 pagi, hari ini.
Kesemua 14 individu berumur antara 20 hingga 60 ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah dan positif urin. –SabahNewToday