Tingkatkan rondaan di laut, elak jenayah ketika musim perayaan – Maritim Sabah

Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan. – Foto Fardy Bungga

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah akan meningkatkan rondaan pada musim perayaan yang akan tiba bagi memastikan perairan negara khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan, berkata fokus utama operasi adalah membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barang-barang kawalan ke negara jiran terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri yang akan disambut oleh umat Islam dalam beberapa hari lagi.

“Penguatkuasaan dan rondaan semestinya dipertingkatkan daripada kebiasaan bagi membendung aktiviti jenayah di laut membabitkan penyeludupan dan pencerobohan.

“Oleh itu, aset-aset yang sedia ada akan diatur gerak bagi melaksanakan operasi berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia khususnya Sabah akan terus melakukan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan PATI, penyeludupan barang-barang terkawal dan aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan di negeri ini.

Dalam pada itu juga, beliau turut memberi ingatan kepada komuniti maritim yang menggunakan jalan laut untuk berhari raya ke rumah sanak-saudara dan rakan taulan di pulau-pulau untuk menjaga keselamatan.

“Pastikan penggunaan jaket keselamatan selain membawa alat keselamatan ketika di laut.

“Saya juga menyeru agar komuniti maritim dan orang awam melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di MERS 999 atau Maritim Sabah di talian 088-270165 atau 088-270107,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *