PPM keluarkan 21 kompaun dan saman dalam operasi khas musim perayaan di Semporna

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEMPORNA, 1 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna mengeluarkan 21 kompaun dan saman setakat ini dalam Operasi Khas bagi musim perayaan yang dijalankan di daerah ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata operasi kali ini yang dijalankan mulai 8.00 pagi hingga 12 tengah hari ini bukan sahaja membuat pemeriksaan ke atas dokumen bot serta kenaikan laut lain di perairan Semporna, malah turut menguatkuasakan akta dan peraturan aktiviti air bagi bot membawa penumpang seperti Ordinan Perkapalan saudagar 1960 (MSO), Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan.

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Ini (penguatkuasaan akta dan peraturan) penting bagi menentukan keselamatan pengguna bot pelancong dan kenaikan laut yang lain supaya keselamatan terjamin terutama sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri dan cuti penggal persekolahan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan setakat ini, mendapati 21 buah bot daripada 85 bot yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1960,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, antara kesalahan itu ialah membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan dalam lesen operasi dan kelengkapan peralatan serta alat keselamatan tidak lengkap termasuk tiada jaket keselamatan.

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Semua yang ditahan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk tindakan lanjut.

Mohamad Pajeri berkata meskipun kesibukan dalam menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma tiba, tanggungjawab dan tugas PPM terhadap keselamatan masyarakat tetap dilaksanakan tanpa mengira masa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *