KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat merampas 120 kilogram ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan susulan penahanan pasangan suami isteri di Jalan Tinangol Indarason Matunggong, di sini petang semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata hasil maklumat diperoleh, pihaknya berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Rusa yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan pada jam 2.40 petang.
“Dalam Ops Landai Khas di bawah koordinasi Unit Risikan Marin PPM Kudat, kita berjaya menahan pasangan suami isteri warga tempatan, masing-masing berusia 64 dan 43 tahun dipercayai memiliki bekalan ikan disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Ia kemudian membawa penemuan 120 kilogram ikan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,200. Kenderaan suspek turut dirampas bersama dua tong ikan dan alat penimbang ikan. Keseluruhannya, nilai rampasan mencecah RM16,700,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohamad Pajeri berkata, semua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat dan akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kudat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan memiliki ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan dan akan memastikan mereka yang terbabit akan menerima hukuman setimpal. – Berita Harian