TAWAU, 17 Mei – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang bersama kakaknya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Land Cruiser di Kilometer 6, Jalan Kuhara, dekat sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian 12.25 tengah malam itu, mangsa Firdaus Mohamad Askari Makkateru, 19, meninggal dunia di Hospital Tawau akibat cedera parah manakala kakaknya Siti Aishah Mohamad Askari patah tangan kanan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Nor Azizulkifli Mansor berkata kemalangan itu berlaku selepas seorang lelaki warga emas berumur 61 tahun yang memandu Land Cruiser cuba memotong sebuah lori tangki namun gagal dan bertembung motosikal mangsa dari arah bertentangan.
“Pemandu Land Cruiser dipercayai dari arah Taman Da Hua 3 menuju ke Gudang 4, manakala mangsa dari arah Sungai Imam menuju ke Hospital Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nor Azizulkifli berkata siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA