Tiada masa untuk raikan, perlu segera jalankan tugas – Phoong

Phoong Jin Zhe.

KOTA KINABALU, 17 Mei – Tiada masa untuk meraikan sambutan dan bulan madu atas lantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah yang baharu sebaliknya perlu segera menjalankan tugas yang diamanahkan, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe.

Ini kerana, menteri muda berusia 30 tahun itu berkata beliau ada empat tahun untuk melaksanakan tugas di kementerian itu untuk penggal ini.

Katanya beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas lantikan itu serta kepimpinan DAP negeri dan pusat yang mencadangkan namanya untuk jawatan menteri di kementerian itu.

“Bagi saya, tiada masa untuk sambutan dan bulan madu. Tidak perlu ada apa-apa sambutan dan iklan tahniah. Saya mahu segera memahami kementerian ini untuk melaksanakan polisi untuk manfaat belia dan sukan negeri ini.

“Saya akan segera berjumpa dengan menteri sebelum ini Datuk Frankie Poon Ming Fung untuk mendengar idea dan agenda yang perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pelantikan Phoong bagi menganggotai Kabinet negeri Sabah itu diumumkan oleh Mohd Shafie hari ini.

Mohd Shafie turut mengumumkan Poon, Pemangku Pengerusi DAP Sabah dan ADUN Tanjung Papat dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan di kementerian itu selepas kematian Pengerusi DAP Sabah mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Phoong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Sabah menganggap pelantikan sebagai menteri itu merupakan satu tanggungjawab besar bagi memperjuangkan suara anak muda di negeri ini.

Justeru, katanya, beliau juga akan segera berjumpa dengan persatuan belia di negeri ini untuk mendengar permintaan mereka yang mahukan ada perubahan dan masa depan yang cerah.

Dalam aspek sukan, Phoong, bekas pelajar Sekolah Menengah Tshung Tsin di sini berkata antara yang beliau akan beri tumpuan adalah penyediaan dan naik taraf kemudahan sukan dan riadah di kawasan kediaman membabitkan taman permainan serta gelanggang sukan.

“Saya mahu masyarakat khususnya anak muda mudah menjalani aktiviti sukan serta riadah dengan tidak perlu pergi jauh untuk menggunakannya di Kompleks Sukan,” kata Phoong, pemegang Ijazah Bersekutu Kewartawanan dan Perhubungan Awam Kolej Universiti New Era.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *