LAHAD DATU, 5 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas pelbagai barangan makanan di kawasan Laut Tungku, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua lelaki berumur antara 22 hingga 68 tahun itu ditahan dalam Op Gelora pada pukul 11 pagi.
“Kesemua mereka yang ditahan memiliki dokumen yang meragukan dan dipercayai baru tiba dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata pemeriksaan di dalam ruangan bot turut menjumpai lima karung berisi pelbagai jenis makanan laut kering selain turut menemui empat tong gas memasak, beg pakaian serta satu kotak serbuk minuman jus oren.
Menurutnya, kesemua tahanan serta rampasan bernilai RM2,800 dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
— BERNAMA