Dua Maut, Satu Cedera Pertembungan Dua Kenderaan di Jalan Kimanis-Keningau

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan.

PAPAR: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Kimanis–Keningau, di sini, malam Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Nelson Ponji berkata, kejadian kira-kira jam 11.34 pagi itu melibatkan pertembungan kereta kompak dan sedan.

“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi pada jam 11.59 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 25 kilometer.

“Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan iaitu dua mangsa lelaki yang juga pemandu kedua-dua kenderaan didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu kedua-dua kenderaan masing-masing berumur 61 dan 35 tahun.

“Sementara itu, seorang wanita berusia 52 tahun yang juga penumpang kenderaan kompak mengalami kecederaan.

“Mangsa cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi dikawal pada jam 12.20 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari selepas dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

“Turut membantu di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *