Semua Mangsa Kebakaran Tanpa Mengira Latar Belakang Akan Diberikan Bantuan – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melawat keadaan lokasi kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi .

SANDAKAN: Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan secara menyeluruh kepada semua mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi tanpa mengira status kewarganegaraan mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan terjejas, khususnya apabila ditimpa musibah besar seperti kebakaran.

Menurutnya, setiap ketua isi rumah yang terlibat akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM2,000.

“Bantuan untuk mangsa ini kita akan bagi semua ketua isi rumah sebanyak RM2,000 seorang. 

“Kita tidak peduli sama ada warganegara atau bukan warganegara, kita kerajaan yang prihatin, kita bagi bantuan seluruhnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kebakaran dan menyantuni mangsa di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan PPR Taman Batu Sapi.

Terdahulu, Hajiji turut diberikan taklimat mengenai kejadian kebakaran serta status semasa kawasan terjejas ketika lawatan ke Kampung Bahagia.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson.

Dalam kejadian awal pagi semalam itu, kebakaran besar dilaporkan telah memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah di kawasan berkenaan, menyebabkan ramai penduduk hilang tempat tinggal.

Sumber : SayangSabah

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *