
KUALA LUMPUR : Laluan ke Sabah dan Sarawak, khususnya Tawau, muncul antara destinasi paling cepat mencatat jualan tiket sempena Aidilfitri tahun ini apabila permintaan meningkat lebih awal berbanding kebiasaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, setakat ini faktor muatan penerbangan bagi tempoh perayaan sudah melebihi 30 peratus, sekali gus menunjukkan sambutan awal yang amat menggalakkan dan keyakinan penumpang untuk membuat perancangan perjalanan lebih awal.
Menurutnya, laluan yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak kekal sebagai paling popular setiap kali musim perayaan utama.
“Seperti dijangka, laluan ke Sabah dan Sarawak mencatat permintaan paling tinggi sepanjang tempoh Aidilfitri, terutama membabitkan destinasi seperti Kuching dan Tawau yang menjadi tumpuan utama perantau untuk pulang ke kampung.
“Trend tempahan semasa juga selari dengan corak musim perayaan sebelum ini, malah ada laluan yang menunjukkan peningkatan lebih awal berbanding tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Katanya, selain Sabah dan Sarawak, Kota Bharu, Kelantan dan Pulau Pinang turut merekodkan permintaan tinggi dalam kalangan penumpang yang mahu pulang beraya bersama keluarga.
“Langkawi pula dijangka mencatat kadar muatan tinggi sepanjang minggu perayaan apabila ramai mengambil peluang bercuti selepas menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
“Kami mendapati pelanggan sudah mula membuat tempahan sejak awal Januari, khususnya bagi tarikh perjalanan puncak pada minggu sebelum dan selepas Aidilfitri,” katanya.
Jelasnya, Batik Air turut menambah kapasiti di laluan berpermintaan tinggi melalui peningkatan kekerapan penerbangan termasuk ke Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang bagi memastikan lebih banyak pilihan serta ketersediaan tempat duduk mencukupi sepanjang tempoh puncak.
Katanya, syarikat turut menawarkan promosi ‘Fixed Fares Sales’ ke Sabah dan Sarawak. Di samping penambahan penerbangan di laluan terpilih sempena musim perayaan.
“Inisiatif sama seperti yang dilaksanakan ketika musim perayaan sebelum ini akan diperkenalkan menjelang Hari Raya bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih baik serta menyokong kelancaran perjalanan sepanjang musim Aidilfitri,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah