
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditemukan meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Nosoob Baru, di sini, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mangsa kira-kira jam 8.15 pagi.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan garaj rumah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemukan sebarang kesan pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah.
“Tiada kecederaan luaran mencurigakan dikesan pada tubuh mangsa dan pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan rasmi laporan bedah siasat.
“Orang awam dinasihat supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah