
TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori 10 tan dalam kemalangan di Jalan Berungis Tenghilan berhampiran Hospital Tuaran, kira-kira jam 4 petang Isnin.
Mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori 10 tan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri bagi memberi laluan kepada ambulans yang melalui jalan sama.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong sebelum berlaku pergeseran antara kedua-dua kenderaan.
“Akibat pergeseran itu, penunggang motosikal terjatuh ke bawah lori lalu digilis pada bahagian perut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya/
Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelak kemalangan,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah