Lelaki Maut, Enam Cedera Nahas Dua Kenderaan di Jalan Pantai Lok Kawi

Keadaan  Mitsubishi Triton terbalik di lokasi kejadian

PUTATAN: Seorang lelaki maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai Lok Kawi, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sebuah kereta dilaporkan tercampak ke dalam parit, manakala kenderaan pacuan empat roda terbalik di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.04 pagi.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira lapan kilometer.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki yang berada di dalam kereta terbabit telah tersepit.

“Mangsa berusia 21 tahun itu berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, empat lagi mangsa lelaki yang menaiki kereta terbabit tercampak ke dalam parit akibat impak kemalangan dan mengalami kecederaan sebelum dibantu pasukan bomba.

“Semua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu pacuan empat roda dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, manakala seorang penumpang wanita mengalami kecederaan dan turut menerima rawatan,” katanya.

Noor Sherriyana berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi selepas keadaan disahkan selamat, manakala punca kemalangan kini dalam siasatan pihak polis.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *