
TAWAU, 3 Jan : Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram dalam satu operasi khas di kawasan Jalan Chong Thien Vun, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 10.15 malam ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, hasil pemantauan dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan satu bungkusan mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 1,009.47 gram bernilai kira-kira RM35,000.
“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai penghantar dadah dan mengaku menerima upah puluhan juta rupiah untuk membawa bekalan tersebut ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barangan kemas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis sedang meneruskan risikan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah yang terlibat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan pengedaran dadah di kawasan masing-masing.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah