
TAWAU: Seorang pemandu lori balak maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelum memasuki kawasan Maliau Basin, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 133 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, mangsa didapati tersepit dalam kabin lori. Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
“Lelaki berusia lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Tawau.
Menurut Jemishin, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.19 petang selepas memastikan keadaan di lokasi selamat.
Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah