
KOTA KINABALU: Datuk Mohamed Razali Razi menyifatkan pelantikannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik sebagai amanah besar untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Darau.
Razali, yang dikenali sebagai Bob dan juga Setiausaha Eksekutif GRS, berkata kepercayaan itu bukan sekadar penghormatan tetapi tanggungjawab yang dipikul dengan penuh iltizam demi memastikan masyarakat Darau terus diberi perhatian.
“Politik bukan ruang mengejar kemewahan, tetapi wadah membawa suara rakyat yang sering tenggelam dalam percaturan kuasa. Amanah ini saya pikul dengan rendah hati,” katanya.
Beliau turut menyatakan pengalaman turun padang sebelum ini menjadi persiapan penting untuk menggalas tugas baharu, selain menegaskan bahawa kuasa adalah pinjaman dan khidmat kepada rakyat merupakan kewajipan utama.
“Darau bukan hanya kawasan, ia jiwa perjuangan saya. Insya-Allah, suara Darau akan sentiasa bergema di Dewan Undangan Sabah,” katanya.
Razali, yang juga Setiausaha Agung Gagasan Rakyat dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, merupakan salah seorang daripada enam ADUN Dilantik yang turut merangkumi Datuk Roger Chin Ken Fong, Datuk Ceasar Mandela Malakun, Datuk Ir Chin Shu Ying, Datuk Kasim Razali dan Grace Lee Li Mei.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman, disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta jemaah Kabinet Negeri.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah