
LAHAD DATU: Tiga maut manakala seorang kanak-kanak lelaki parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler muatan kernel sawit di Jalan Dewata, Pondok Ketam, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.25 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera LFRT dan sebuah unit EMRS digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak, manakala lori treler 30 tan berwarna hijau datang dari arah bertentangan.
“Impak perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit diseret kira-kira 30 meter oleh treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat empat mangsa dalam kereta berkenaan, tiga lelaki masing-masing berusia 56 dan 43 tahun, serta seorang wanita berusia 39 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM.
“Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pula parah dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi rawatan lanjut.
“Pasukan bomba membuka ruang kerja menggunakan peralatan khas penyelamatan RTA sebelum mengeluarkan semua mangsa yang tersepit,” katanya.
Sumsoa berkata, pemandu lori treler terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan telah pergi sendiri ke balai polis berhampiran sebelum bomba tiba.
“Mayat tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kemalangan masih disiasat PDRM.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang setelah memastikan lokasi kemalangan selamat,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah