Syabu RM22,000 Dirampas, Pengedar Warga Asing Diberkas di Semporna

Jaafar (tengah) ketika menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas.

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing berusia 40-an ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Kampung Sri Jaya, di sini pada 21 Oktober lepas.

Dalam operasi kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Balai Polis Pulau Bum Bum berjaya menahan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim, berkata hasil pemeriksaan menemukan satu beg silang yang dipakai oleh suspek terbabit.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemukan satu bungkusan plastik hitam berisi empat paket plastik cerah mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat keseluruhan dadah berkenaan adalah 200.54 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM22,059,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Menurutnya, tangkapan itu hasil maklumat risikan berterusan pihak polis terhadap aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam pengedaran, pemilikan atau penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Kami juga menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti berkaitan dadah,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *