
KINABATANGAN: Lima individu cedera termasuk dua yang tersepit selepas van penumpang bertembung dengan sebuah lori di Jalan Segaliud, Kinabatangan, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.48 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan di lokasi, pasukan operasi kemalangan membabitkan dua kenderaan sebuah van penumpang dan lori.
“Seorang lelaki yang juga pemandu lori didapati tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi penumpang van turut tersepit di bahagian hadapan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’, manakala tiga lagi mangsa lain yang turut berada dalam van mengalami kecederaan.
“Kesemua lima mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, operasi yang turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu tamat sepenuhnya pada jam 11.35 malam.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah