
KOTA KINABALU: Semua bentuk perhimpunan aman diminta ditangguhkan buat sementara waktu sehingga prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir selesai sepenuhnya.
Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham berkata, orang ramai perlu berbuat demikian selaras dengan permintaan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45.
“Kami menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara dan sumbangan dana bagi menampung kos perlantikan pakar dalam pelbagai bidang bagi anak guam kami iaitu ibu Zara (Qairina) dalam inkues ini.
“Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan,” menurut satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Barisan peguam itu turut menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila membuat kritikan dan ulasan di media sosial berhubung prosiding inkues serta keterangan yang dikemukakan.
Katanya, mereka sedia maklum beberapa individu sudah ditahan dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan pada perhimpunan atau komen di media sosial yang berkaitan dengan gerakan Justice For Zara.
“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara (Qairina) dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami memohon semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di media sosial tentang prosiding inkues dan bukti-bukti yang dikemukakan. Ini penting bagi mengelakkan risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues,” kata mereka.
Menurut mereka, sebarang perhimpunan solidariti boleh diteruskan sebaik sahaja prosiding inkues selesai sepenuhnya.
“Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya.
“Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” jelas mereka.
Prosiding inkues Zara yang berlangsung selama 17 hari bermula pada 3 September lalu.
Sehingga hari ketujuhnya semalam, prosiding itu sudah memanggil enam saksi dan melawat lokasi kejadian.
Ia akan bersambung pada Rabu depan dengan dua saksi, iaitu seorang kanak-kanak dan seorang doktor perubatan, dijangka memberi keterangan.
SumbeR: Harian Metro
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah